Sebuah Ilusi Optik

Jauh Di Sana..

Semasa aku darjah 5, setiap murid dalam kelas aku dibahagikan mengikut kumpulan. Ada kumpulan A, ada kumpulan B, C dan seterusnya. Setiap kumpulan terdapat lebih kurang 8 orang murid. Setiap kumpulan juga mempunyai gabungan murid bijak dan kurang bijak. Tujuan diadakan sistem berkumpulan ini mungkin untuk mengelakkan sistem kasta dan mungkin juga bagi membolehkan murid bijak membantu yang kurang bijak. Aku pula, sebagai seorang murid yang berada dalam kategori bijak (ceh..) ditempatkan dalam kumpulan B. B untuk Bijak, Bagus, Baik dan Bengis. Hahaha.

Dalam kumpulan kami hanya ada dua orang murid lelaki. Aku dan Amin. Disebabkan itu, kami menjadi rebutan ramai gadis. Kami umpama 2 ekor kumbang dalam rimbunan bunga yang mekar. Wooohoo.. Tapi aku langsung tak tertarik kepada gadis lain melainkan seorang murid perempuan yang duduk betul-betul berhadapan dengan aku, Azlin. Azlin mukanya comel macam kucing. Azlin baru berpindah sekolah dari Johor. Cakapnya bunyi standard Bahasa Melayu kebangsaan sedangkan kami semua bunyi standard Kelantan pekat. Haha.. Pertama kali bersua muka, hatiku terus terpikat pada Azlin. Cinta pandang pertama mungkin. Tapi Azlin anak pegawai polis. Bapaknya garang bermisai macam A.Galak dalam Roda-Roda Kotaraya (masa tu mana ada rancangan Gerak Khas lagi). Huhu.

Berbalik pada cerita aku. Amin seorang yang pendiam. Sesekali diusik gadis-gadis genit dalam kumpulan kami, dia hanya senyum. Tapi aku tak pernah mengusik dia. Aku bukanlah gadis genit. Aku kan jejaka macho. =). Semasa darjah 3, ibu Amin meninggal dunia disebabkan barah. Tidak lama kemudian, bapanya kahwin lain. Tapi aku dapat rasakan Amin seorang yang tabah. Rumah neneknya terletak di sebelah rumah aku. Semasa hari kematian ibunya, aku ke rumah nenek Amin iaitu ibu kepada mak Amin. Aku lihat Amin sedang rancak menyusun kerusi sambil berborak-borak dan sesekali gelak bersama adiknya. Sementara menanti jenazah ibunya tiba dari hospital. Oh ya.. Amin mempunyai seorang adik lelaki, seorang kakak dan seorang abang. Jauh di sudut hatiku kagum dengan Amin. Mungkin Amin sudah penat menangis atau Amin menyembunyikan kesedihannya di saat itu. Mungkin.

Aku tidak begitu rapat dengan Amin sebenarnya walaupun Amin duduk bersebelahan dengan aku dalam kelas. Puncanya mudah, Amin juga menyukai Azlin. Mana boleh 2 jejaka yang menyukai gadis sama saling berkawan baik. Pantang! Azlin comel, mestilah disukai ramai jejaka. Aku dan Amin saling cuba memikat Azlin. Kami saling berlawan dalam apa sahaja. Terutama dalam permainan golek-golek getah pemadam, permainan Saidina, permainan jentik penutup botol mahupun permainan guli. Adatlah, kekadang aku menang. Kekadang aku kalah. Tapi banyaknya aku kalah. Hebat juga Amin ni rupanya. Sesekali aku borak-borak juga dengan Amin terutama mengenai siri kegemaran kami, Satria Baja Hitam. Kelakar juga budak Amin ni rupanya. Sambil-sambil isi masa lapang dapat juga aku mencungkil strategi Amin dalam memikat Azlin. Licik tak? =)

Semasa darjah 6, aku dan Amin tidak lagi sekelas. Dia ditempatkan di kelas hujung manakala aku maintain kelas depan. Selepas UPSR, aku mendapat tempat di sekolah asrama manakala Amin meneruskan pengajian di sekolah biasa. Aku dan Amin langsung terputus hubungan. Berita terakhir aku terima dari seorang kawan selepas itu, Amin sudah berhenti sekolah. Amin sudah menjadi liar. Dia merantau untuk bekerja dan bercampur gaul dengan kutu berahak tak tentu hala. Dia menjadi anak terbiar.

2 tahun lepas, semasa balik ke kampung. Nenek aku bercerita. Amin sudah meninggal dunia. Nenek Amin yang memberitahu nenek aku. Amin meninggal dalam keadaan yang amat menyedihkan selepas beberapa bulan terlantar sakit. Neneknya menangis sambil bercerita. Semasa terlantar sakit di hospital jauh dari rumah, Amin beberapa kali menelefon ayahnya dan meminta agar ayahnya datang menjenguknya. Amin terlantar keseorangan tanpa sesiapa. Namun ayahnya langsung tidak menghiraukannya. Amin begitu hiba dan hampa. Semasa menelefon buat kali terakhir, Amin merayu kepada ayahnya agar dibawa pulang ke kampung. Amin kata, dia ingin mati di rumah dan dikebumikan bersebelahan ibunya. Tapi sekali lagi ayahnya tidak mempedulikannya. Beberapa hari kemudia, Amin meninggal dunia. Tanpa sesiapa.

Amin meninggal dunia disebabkan AIDS. Jasadnya dikebumikan di suatu tempat di Negeri Sembilan. Jauh dari rumah. Al-Fatihah untuk Amin.

(Entri ini adalah sempena Hari AIDS sedunia yang disambut hari ini, 1 Disember)

Trivia dari buku 50 Facts that should change the world oleh Jessica Williams
"Some 30 million people in Africa are HIV-positive. By 2050, the disease may have claimed 280 million lives. Life expectancy in some sub-saharan countries is currently 30! China refused to acknowledge it's AIDS problem till 2002; till then, 30,000 was the number of those living with HIV in China but after that, it jumped to 1 million. Of the $70 billion is spent each year in researching new drugs, less than 10% is spent on finding soutions for 90% of the world's health problems."

2 comments:

dugongsenyum said...

Al-Fatihah. Amin.

nbn said...

Memang sedih kisah ni... banyak melihat kematian dan tanda-tandanya...merata2 tempat mukabumi.. kesian.

Al-fatihah.